Dakwah, menyeru kepada kebaikan dan menegur kemungkaran dengan kaedah yang disenangi. Suatu kerja ibadah yang menyeronokkan. Walaupun tanpa ganjaran duniawi seperti harta, wang ringgit, tahta, pangkat dan kuasa, namun bagi seorang pendakwah kepuasan di dalam melaksanakan kerja dengan senang hati dan bersungguh-sungguh sudah cukup istimewa baginya. Tambahan pula, jika kelompok penerima seruan dakwah menerima mesej dakwah dengan senang hati dan mengikuti seruan kebaikan yang disarankan.
Dakwah mempunyai cabaran yang tersendiri. Halangan tersebut boleh di bahagikan kepada 2 bahagian iaitu halangan dalaman dan halangan luaran. Halangan dalaman adalah sikap seperti malas, tiada kesungguhan, mengharapkan balasan dunia dan seumpamanya. Manakala halangan luaran seperti halangan penguasa, sekatan berdakwah, pandangan sinis masyarakat dan seumpama dengannya.
Pokok pangkal usaha dakwah akhirnya terpulang kepada individu tersebut. Jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bersedia menghadapi halangan luaran mahupun dalaman maka kita akan mengecapi kejayaan dalam usaha dakwah begitu juga sebaliknya. Surah Ar-Raad ayat ke 11, " Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum tersebut jika kaum tersebut tidak mahu berusaha mengubah nasibnya sendiri". Ganjaran pahala merupakan ganjaran besar yang telah Allah janjikan bagi seorang pendakwah yang bersungguh-sungguh dan mengharapkan keredhaan Allah.